Dasar Perakaunan Kerajaan

Piawaian Dasar Perakaunan Kerajaan adalah satu garis panduan yang disediakan bagi menyeragam amalan perakaunan kerajaan.

Piawaian ini meliputi dasar, prinsip, andaian dalam perakaunan yang diterima pakai dalam penyediaan, dan persembahan penyata kewangan kerajaan berasaskan:

1. Perlembagaan Persekutuan
2. Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]
3. Aturan dan peraturan yang berkuat kuasa
4. Arahan Perbendaharaan
5. International Public Sector Accounting Standards (IPSAS) – Financial Reporting Under The Cash Basis of Accounting

TUJUAN DASAR PERAKAUNAN KERAJAAN

Piawaian ini bertujuan untuk menetapkan dasar perakaunan yang digunakan dalam penyediaan penyata kewangan kerajaan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

Piawaian ini hendaklah diguna pakai oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mengurus akaun-akaun Kumpulan Wang Disatukan, dalam penyediaan dan persembahan penyata kewangan kerajaan.

Latar Belakang Jabatan Akauntan Negara

DASAR PERAKAUNAN

1. Tahun Kewangan
Tempoh tahun kewangan kerajaan adalah bagi dua belas bulan berakhir 31 Disember setiap tahun.

2. Kebolehpercayaan (Reliability)
Maklumat boleh dipercayai sekiranya tiada kesilapan material dan saksama.

3. Konsep Berhemat (Prudence)
Konsep Berhemat adalah tindakan mengambil kira darjah kewaspadaan dalam pertimbangan yang diperlukan untuk membuat anggaran di bawah keadaan ketidaktentuan seperti aset atau hasil tidak terlebih nyata dan tanggungan atau perbelanjaan tidak terkurang nyata.

4. Perbandingan (Comparability)
Maklumat dalam penyata kewangan boleh dibandingkan apabila pengguna boleh mengenal pasti persamaan dan perbezaan di antara satu maklumat dengan maklumat dalam laporan yang berlainan.

5. Lengkap (Completeness)
Maklumat dalam penyata kewangan hendaklah lengkap dari segi materiality dan kos.

6. Keutamaan Nilai Dari Bentuk (Substance Over Form)
Urus niaga dan lain-lain peristiwa yang perlu dilapor hendaklah diperakaun dan dipersembahkan mengikut keutamaan nilai dan realiti ekonomi dan bukan hanya dalam bentuk perundangan.

7. Materiality
Bentuk maklumat dan materiality menentukan kepentingan sesuatu maklumat.

Maklumat adalah material jika ketiadaan atau salah penyataan boleh mempengaruhi keputusan atau penilaian pengguna penyata kewangan. Materiality bergantung kepada bentuk atau saiz sesuatu maklumat atau kesilapan, yang ditentukan dalam sesuatu keadaan berlakunya ketiadaan atau salah penyataan.

8. Kebolehfahaman (Understandability)
Maklumat kewangan mudah difahami oleh pengguna yang mempunyai pengetahuan munasabah.

9. Relevan (Relevance)
Maklumat adalah relevan sekiranya boleh membantu pengguna dalam menilai sesuatu keadaan masa lepas, semasa dan masa hadapan. Untuk menjadi relevan, maklumat juga perlu menepati masa.

PRINSIP PERAKAUNAN

Prinsip perakaunan yang diamalkan adalah seperti berikut:

1. Prinsip Kumpulan Wang Disatukan
Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan menghendaki segala hasil dan wang yang didapatkan atau diterima oleh kerajaan kecuali zakat, fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya, dimasukkan ke dalam satu kumpulan wang yang dinamakan Kumpulan Wang Disatukan. Perkara 104 Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan wang ini dikeluarkan dari kumpulan wang ini melainkan setelah diperuntukkan atau dibenarkan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, kecuali perbelanjaan tanggungan tertentu.

2. Prinsip Tunai Ubah Suai
Semua urus niaga terimaan dan bayaran kerajaan diakaunkan mengikut asas tunai. Walau bagaimanapun bekalan dan perkhidmatan yang diterima sehingga 31 Disember boleh dikenakan kepada peruntukan tahun kewangan berkenaan jika dibayar dalam Januari tahun berikutnya melalui Akaun Kena Bayar.

3. Prinsip Pengiktirafan Hasil
Kutipan hasil diakaunkan mengikut asas tunai dan dibayar secara jumlah kasar ke akaun hasil, kecuali diperuntukkan sebaliknya oleh mana-mana undang-undang. Hasil yang patut diterima tetapi belum sebenarnya diterima dalam tahun kewangan tidak diakaunkan.

Bayaran balik hasil yang dilakukan mengikut mana-mana undang-undang, aturan dan peraturan dikenakan sebagai perbelanjaan.

4. Prinsip Perakaunan Aset Tetap
Perolehan aset tetap diiktiraf sebagai perbelanjaan pada masa pembayaran dibuat dan tidak dipermodalkan.

Tiada susut nilai diperuntukkan bagi aset tetap yang diperolehi. Apabila aset tetap berkenaan dilupus, tiada untung atau rugi ditunjukkan dalam akaun. Amaun yang diperoleh dari jualan aset tetap berkenaan akan dikreditkan ke akaun hasil atau bagi perolehan aset yang dibiayai oleh kumpulan wang amanah dikreditkan ke akaun kumpulan wang berkenaan.

5. Prinsip Catatan Bergu
Setiap urus niaga memberi kesan kepada dua akaun iaitu satu akaun didebitkan dan satu lagi akaun dikreditkan. Urus niaga ini dicatat secara serentak untuk menghasilkan jumlah debit yang sama dengan jumlah kredit dalam akaun.

6. Prinsip Akauntabiliti
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri memberi kuasa melakukan pembayaran dari Kumpulan Wang Disatukan melalui Akta atau Enakmen Perbekalan Tahunan dan Akta atau Enakmen Perbekalan Tambahan serta undan g-undang lain. Kuasa berbelanja yang dibenarkan melalui Akta atau Enakmen Perbekalan, Akta atau Enakmen Perbekalan Tambahan, Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406] dan akta atau enakmen lain adalah untuk maksud yang ditetapkan serta amaun yang diluluskan. Semua peruntukan yang dilulus tetapi tidak dibelanja dalam tahun kewangan berkenaan akan luput. Segala urus niaga kerajaan akan diakaun dan dilaporkan dalam penyata kewangan kerajaan.

Kredit Gambar: Businessman working with documents in the office/ShutterStock

Tinggalkan Pendapat Anda..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here